Ahad, 13 Februari 2011

Letter to Editor by Nur Faizah Faiz, former participant of ARTS-ED

Salam 1 Malaysia! 



Nur Faizah J.Jayakumar
Georgetown, Penang.
13 Februari 2011



Salam 1 Malaysia! Salaman yang kita sering kedengaran akhir-akhir ini. Akan tetapi, salaman ini bukanlah satu kebiasaan baru bagi saya. Idea disebalik laungan 1 Malaysia ini bukanlah satu agenda yang baru. Hal ini kerana, idea di sebalik “Salam 1 Malaysia” ini telah lama saya dapat zahirkan melalui penyertaan saya dalam program Anak-Anak Kota (Children of The City) yang dianjurkan oleh Arts-Ed. “Hi Sher Ryn! Hi Selvan! Hi Aida!” Begitulah gambaran yang berlaku dahulu semasa saya menyertai program ini. Program Anak-Anak Kota ini telah mengumpulkan pelajar-pelajar yang berbilang bangsa dan juga umur untuk menghayati tinggalan khazanah pusaka Georgetown melalui gerak tari, muzik dan juga seni visual. Saya amat tertarik sekali untuk menyertainya kerana pendekatan yang digunakan untuk mengenali sejarah dan juga menanam rasa cintakan sejarah bukanlah dengan menggunakan cara konvensional iaitu dengan mengahafal buku teks sejarah . Objektif subjek sejarah diperkenalkan adalah untuk menanam rasa cintakan negara dan juga mengenali sejarah kita, Akan tetapi adakah pelajar yang mendapat gred A bagi subjek sejarah mempunyai tahap taat setia kepada negara lebih berbanding dengan pelajar mendapat selain daripada gred A? Oleh itu, Anak-Anak Kota telah menggunakan pendekatan yang bijaksana dengan memberi peluang kepada saya untuk merasa, mendengar, melihat dan menyentuh warisan tinggalan George Town yang dahulunya saya hanya dapat membayangkan sahaja ketika membaca buku teks sejarah. Peluang yang diberi seolah-oleh melengkapkan kepingan terakhir dalam permainan jigsaw. Saya dapat berinteraksi dan bekerjasama dengan rakan-rakan lain yang mempunyai latar belakang dan kaum yang berbeza-beza. Temubual secara lisan dengan penduduk tempatan dilakukan bagi memperolehi maklumat berharga yang tidak pernah dikongsi. Toleransi kaum benar-benar ditekankan dalam program ini. Saya masih teringat akan peristiwa di mana pada penghujung program ini, setiap kumpulan iaitu gerak tari, muzik dan juga seni visual harus membuat membuat satu persembahan besar-besaran di tepi jalan. Persembahan kami dihentikan sebentar bagi memberi laluan kepada azan Isyak untuk berkumandang. Oleh itu, usaha yang dilakukan Arts-Ed untuk mempromosi keharmonian kaum haruslah dipuji dan bukanlah dijadikan bahan untuk berpolitik.